BAGI yang gemarkan suasana aman damai sambil ditemani desiran air sungai, Hutan Lipur Sungai Bantang di Bekok, Labis, Johor sesuai menjadi lokasi untuk berehat serta menenangkan fikiran.
Terletak kira-kira 64 kilometer dari bandar Segamat, Hutan Lipur Sungai Bantang sentiasa menggamit pengunjung, dengan kehijauan pelbagai jenis flora semula jadi menjadi tarikan utamanya.
Malah, pelbagai jenis kayu-kayan yang umurnya mencecah puluhan hingga ratusan tahun dipulihara dengan rapi.
Selain itu, pengunjung dapat menikmati deruan air terjun yang mengusik perasaan sambil mandi manda bersama sahabat handai dan keluarga pada hujung minggu atau musim cuti sekolah.
Pegawai Perhutanan Labis, Hussin Ahmad, 35, yang bertugas menjaga hutan lipur itu berkata, setiap kali tiba musim cuti am, jalan dan persekitaran ke kawasan hutan lipur itu sesak dibanjiri pengunjung.